Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai Imigresen direman lima hari disyaki terima rasuah

KUCHING: Seorang pegawai Imigresen direman lima hari bermula hari ini hingga Ahad depan bagi membantu siasatan selepas disyak menerima rasuah berjumlah RM1,800 daripada individu.

Ia bagi memudahkan individu terbabit yang merupakan ejen kepada dua warga asing dari Indonesia untuk mendapatkan visa kemasukkan ke Sarawak tanpa melalui prosedur Jabatan Imigresen Malaysia yang sah.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali selepas pemohonan terbabit dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap suspek hari ini.

Suspek yang ditahan semalam telah dibawa oleh pegawai dari unit integriti Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak yang menjalankan naziran di Kompleks Keselamatan, Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Tebedu ke pejabat SPRM Kuching.

Menurut sumber SPRM, ketika melakukan naziran di kompleks ICQS terbabit, pegawai dari Unit Integriti JIM telah menjumpai satu perbualan ‘whatsapp’ yang mencurigakan di mana pesanan ringkas tersebut mengandungi dua transaksi yang mencurigakan di telefon milik suspek.

Bertindak daripada penemuan itu, pegawai terbabit telah membawa suspek yang berusia 42 tahun itu ke Pejabat SPRM Kuching untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sarawak, Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit dan memaklum kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Loading...
Terkini