comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pegawai, 2 penguasa Kastam didakwa lepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan

FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Seorang pegawai dan dua pembantu penguasa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini terhadap pertuduhan rasuah berhubung kes melepaskan lori barangan tanpa pemeriksaan dari kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketiga-tiga tertuduh, Mohd Nasrizal Othman, 37; Mazuki A Kadir, 54, dan Ahmad Samirruddin Muhammad Japri, 38, mengaku tidak bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Mohd Nasrizal didakwa dengan lima pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM1,150 antara 25 Januari 2017 hingga 1 Jun 2019, manakala Mazuki didakwa dengan 10 pertuduhan menerima suapan keseluruhan berjumlah RM2,900 antara 19 April 2018 dan 4 April 2023.

Ahmad Samirruddin pula didakwa dengan sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah keseluruhan RM4,550 antara 31 Mei 2017 hingga 2 April 2019.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan sebuah bank di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 serta Bandar Baru Salak Tinggi.

Semua mereka didakwa secara rasuah memperoleh suapan daripada seorang pemilik syarikat berusia 38 tahun, melalui pemindahan wang secara dalam talian ke akaun bank masing-masing sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori kargo milik syarikat itu, yang membawa keluar barangan dari Kargo KLIA.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali dan Maziah Mohaide manakala peguam Muhammad Aizat Fakri mewakili Mohd Nasrizal dan Mazuki manakala Ahmad Samirruddin diwakili peguam Adhwa’ Afiqah Mohd Azmi.

Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Nasrizal dijamin dengan RM8,000, manakala Mazuki dan Ahmad Samirruddin masing-masing dijamin dengan RM10,000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini