Tumpuan :
Mahkamah

Pecah masuk pejabat ADUN Komtar, tukang cuci dipenjara 11 bulan

Tukang cuci, C. Murli mengaku bersalah curi RM7,259 di Pejabat ADUN Komtar, 26 Disember lalu.

Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang tukang cuci dikenakan hukuman penjara selama 11 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas tertuduh mengaku bersalah mencuri wang RM7,259 di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, pada 26 Disember tahun lalu.

Tertuduh, C. Murli, 47, membuat pengakuan bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Azlan Basri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah memecah masuk Pejabat ADUN Komtar dengan tujuan mencuri wang utiliti pejabat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 26 Disember 2024, kira-kira jam 8.11 malam di Pejabat ADUN Komtar, di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, pada 27 Disember 2024, seorang pekerja pejabat ADUN Komtar telah mendapati laci yang terdapat sebuah beg menyimpan wang tunai bagi tujuan pembayaran utiliti pejabat berkenaan berjumlah RM7,259 telah hilang.

Pekerja berkenaan kemudian memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati tertuduh telah memecah masuk pejabat berkenaan.

Terdapat cap jari di lokasi kejadian dan pemeriksaan mendapati cap jari adalah positif dengan tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini