BALIK PULAU: Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan memiliki 259.5 liter air ketum, awal bulan ini.
Pengakuan itu dibuat Mohd Nasir Othman, 47, dan isteri, Norhafizah Mohd Zamberi, 36, selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama-sama memiliki sebanyak 259.5 liter cecair mitragynine di sebuah rumah di Sungai Ara, Bayan Lepas, di sini, pada 6 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama dengan memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Lim Jin Hong menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh.
Bagaimanapun, Mohd Nasir yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah atas alasan perlu menyara dua isteri serta enam anak dengan pendapatan RM2,000 sebulan sebagai penghantar barang.
Manakala, isterinya turut memaklumkan hanya suri rumah dan perlu menjaga anak bongsu autistik yang masih menerima rawatan di hospital.
Mahkamah kemudian membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, di mahkamah sama, Mohd Nasir turut mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 18 liter cecair mitragynine di lokasi dan masa sama.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dan menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, media melaporkan penahanan lelaki berkenaan bersama isteri keduanya di sebuah rumah sewa yang dijadikan lokasi pemprosesan air ketum susulan penemuan peralatan masak dan ratusan bungkusan air ketum.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.