Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan Suami Isteri Didenda RM20,000 Dera Anak Angkat Di Eco Majestic

BANGI : Pasangan suami isteri masing-masing didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini hari ini kerana mendera anak angkat mereka berumur empat tahun.

Hakim Effandi Nazila Abdullah menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga, Amira Hamzah, 28, dan suaminya Muhammad Fitri Jasmani Josmani, 30, warga Singapura selepas mereka mengaku bersalah menganiaya kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di kediaman mereka di Eco Majestic, Semenyih pada 1.25 tengah hari, antara April dan 18 Julai 2022.

Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan pasangan itu dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.Terdahulu, kedua-dua tertuduh merayu hukuman denda minimum atas alasan mereka tiada niat untuk mendera mangsa, sebaliknya bimbang dengan kesihatan anak angkat mereka.

“Kami tiada niat untuk mendera, sebenarnya kami cuma hendak pastikan dia makan dan tidak kurang zat dalam badan,” kata Muhammad Fitri.

Hakim Amir memohon hukuman penjara dan denda atas alasan tindakan tertuduh bukannya untuk mendidik tetapi ia dianggap zalim dan tidak adil selain mereka tidak amanah serta tidak bertanggungjawab dalam menjaga mangsa.

“Kecederaan mangsa bukan satu tempat sahaja tetapi satu badan. Ini boleh menyebabkan kanak-kanak itu trauma seumur hidup dan dia sepatutnya diberi perhatian dan kasih sayang.

Media pada 22 Julai lalu melaporkan sepasang suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak angkat perempuan yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah sekitar Beranang, Selangor pada 18 Julai lalu.

Difahamkan, polis menerima laporan berhubung kejadian selepas tular di media sosial memaparkan insiden penderaan kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah.

Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya.

Loading...
Terkini