comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Pasangan suami isteri didakwa edar ganja seberat 51.634 kilogram

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

SUNGAI PETANI: Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan mengedar 51.634 kilogram (kg) dadah jenis ganja pada 28 Ogos lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Saiful Syamil Idris, 32 (Pemandu Forklif) dan Nurul Wahida Mohd Adnan, 32 (Suri Rumah) yang mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa dihadapan majistret Kalaiarasi Muniandy.

Berdasarkan pertuduhan pertama, mereka secara bersama didakwa mengedar dadah jenis ganja (cannabis) seberat 768 gram.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah jenis ganja (cannabis) seberat 50.866 kg.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan pada jam 12.30 tengah malam di sebuah rumah di Bandar Seri Astana, Sungai Petani.

Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 39B (1)a Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.

Tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Preeya Singaravelu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam sidang media pada 30 Ogos lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan penahanan kedua-dua tertuduh yang membawa kepada penemuan 51 ketulan mampat dadah jenis ganja yang dibawa dari sempadan negara jiran di Kelantan.

Pemeriksaan ketika serbuan menemui satu ketulan ganja mampat dalam rumah teres satu tingkat itu.

Pemeriksaan lanjut dalam kenderaan bernombor pendaftaran Thailand di rumah berkenaan menemukan 50 ketulan ganja mampat dianggrakan bernilai RM160,000.

Loading...
Terkini