Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan suami isteri didakwa dera, bunuh anak berusia 7 tahun

Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid

BANGI: Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan secara bersama membunuh anak perempuan mereka, minggu lalu.

Kedua-dua tertuduh, Lim Yee Yang, 40, dan isterinya, Cheang Sun Sun, yang berumur 38 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nordiyanah Mohd Nawawi.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana ia melibatkan kes bunuh.

Menurut kertas pertuduhan, pasangan ini didakwa membunuh anak perempuan mereka yang berusia 7 tahun di sebuah rumah di No 16, Jalan Eco Majestic, 8/2A, Eco Majestic, Semenyih kira-kira jam 12.35 pagi.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta tidak lebih daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Tiada jaminan ditawarkan berikutan tertuduh telah didakwa di bawah Seksyen 302 kerana membunuh.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan selepas laporan forensik disiapkan pihak hospital.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini