Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan kekasih didakwa bunuh wanita warga emas

Pasangan kekasih, J Ambrose, 24, dan S Litha, 20, dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh wanita yang juga ibu kandung Ambrose pada 31 Januari lalu, dituduh di Mahkamah Butterworth. – FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Seorang lelaki dan teman wanitanya dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita yang juga ibu kandung lelaki itu pada 31 Januari lalu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, J. Ambrose, 24, dan S. Litha, 20, sebaliknya kedua-duanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara bersama di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal.

Mengikut pertuduhan, pasangan kekasih itu didakwa secara bersama membunuh wanita berusia 60 tahun yang juga ibu kandung kepada tertuduh lelaki.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pangsapuri Seri Orkid, Bagan Ajam, dalam daerah Seberang Perai Utara, antara jam 6.43 petang hingga 8.37 malam pada 31 Januari lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun serta minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurameera Shahrul Azrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, Nurameera tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan kesalahan berkenaan tidak boleh diikat jamin.

Majistret Aini Adilah kemudian menetapkan 14 April depan untuk laporan kimia serta laporan bedah siasat.

Sebelum ini, media melaporkan pasangan kekasih terbabit direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bunuh ibu kandung lelaki itu.

Mangsa dipercayai dipukul dengan objek tumpul di kepala sebelum kedua-duanya ditahan di kediaman bapa lelaki terbabit di Paya Terubong.

Hasil semakan mendapati lelaki itu turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta kes memukul ibu bapanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini