Tumpuan :
Mahkamah

Pasangan kekasih curi produk kecantikan, beg tangan dipenjara 44 hari

Mohamed Amirul (depan) dan Fatimah (belakang) dihukum penjara 44 hari kerana mencuri 10 produk kecantikan dan sebuah beg tangan berjenama bulan lalu. Foto NSTP

MELAKA: Pasangan kekasih dipenjara 44 hari dan denda RM2,000 setiap seorang selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini tuduhan mencuri beg tangan berjenama dan pelbagai produk kecantikan, bulan lalu.

Hukuman itu diputuskan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman selepas mensabitkan tertuduh, Mohamed Amirul Mohamed Nasir dan Fatimah Tambi, masing-masing berusia 40 tahun atas dua pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Amirul dan Fatimah didakwa bersama-sama mencuri 10 barang daripada milikan seorang wanita berusia 25 tahun di kedai Watson, Taman Seri Telok Mas, kira-kira jam 8.20 malam pada 12 Januari lalu.

Mereka juga didakwa mencuri beg tangan berjenama Bonia daripada milikan seorang wanita berusia 63 tahun di sebuah butik di Mahkota Parade, Taman Melaka Raya kira-kira jam 8 malam pada 30 Januari lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun dan boleh didenda dan bagi kesalahan kedua atau yang kemudian hendaklah dihukum penjara, boleh didenda atau sebat.

Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Muhammad Izzuddin Ab Malek merayu hukuman penjara minimum dikenakan kepada pasangan itu dan berjalan serentak dari tarikh ditangkap dengan alasan Mohamed Amirul sudah berkahwin, mempunyai tiga anak dan tidak bekerja, manakala Fatimah pula seorang ibu tunggal dan mempunyai lima anak.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 14 hari kepada setiap tertuduh bermula 2 Februari lalu bagi kesalahan mencuri produk kecantikan.

Bagi kes mencuri beg tangan berjenama, mereka dihukum penjara sebulan dan denda RM2,000 seorang atau enam bulan penjara jika gagal bayar dan hukuman berjalan berasingan selepas kesalahan pertama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini