comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Palsukan dokumen, bekas KP MIROS mengaku tidak bersalah

Foto: NSTP

PETALING JAYA: Bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) didakwa di Mahkamah Sesyen atas empat pertuduhan memalsukan dokumen sebut harga bagi beberapa kenderaan dalam ujian pelanggaran, enam tahun lepas.

Datuk Dr Khairil Anwar Abu Kassim, 47, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Tertuduh didakwa memalsukan dokumen sebut harga daripada beberapa syarikat bertujuan bagi pembekalan 16 kereta dari Thailand ke Makmal Ujian Perlanggaran MIROS di Bukit Katil, Ayer Keroh, Melaka, dengan niat supaya dokumen palsu tersebut digunakan untuk menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah premis di Taman Kajang Sentral, Kajang, pada 24 Julai 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Fadhly Mohd Zamry menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat pada setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam Datuk Geethan Ram Vincent yang mewakili tertuduh memohon agar anak guamnya dibenarkan diikat jamin RM20,000.

“Tertuduh bersedia menyerahkan pasport kepada mahkamah dan lapor diri (di pejabat SPRM berdekatan).

Selain itu, tertuduh memberi kerjasama baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.

Hakim Awang Kerisnada membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM Putrajaya pada hari pertama bekerja pada setiap bulan.

“Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menghadiri setiap sebutan dan bicara kes tersebut serta dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan secara langsung dan tidak langsung.

“Selain itu, tertuduh juga tidak dibenarkan mengakses mana-mana komputer dan dokumen di tempat kerja (MIROS),” katanya.

Mahkamah menetapkan 21 Nov untuk sebutan semula kes.

Loading...
Terkini