MELAKA: Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 102 bulan, denda RM5,000 dan tujuh sebatan terhadap seorang lelaki atas enam kesalahan termasuk mencuri motosikal dan pecah rumah, tahun lalu.
Keputusan dibuat Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman terhadap Norazman Amran, 32, yang mengaku bersalah melakukan semua perbuatan itu.
Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 102 bulan, denda RM5,000 dan tujuh sebatan terhadap seorang lelaki atas enam kesalahan termasuk mencuri motosikal dan pecah rumah, tahun lalu. pic.twitter.com/e5Y3AN0jqk
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) January 5, 2024
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, dia yang digelar ‘Man Toyol’ didakwa mencuri motosikal jenis Demak EX 90, memecah masuk dua rumah dan mencuri jam tangan, jam meja, mesin gerudi dan wang tunai RM150.
Kesalahan didakwa dilakukan di Taman Tangga Batu, Bukit Rambai dan Kampung Sungai Udang, pada 31 Mei, 9 Jun dan 1 Oktober 2023 di waktu berbeza antara 1 pagi hingga 8 malam.
Bagi tiga lagi pertuduhan, Norazman didakwa menyembunyikan motosikal dilaporkan hilang, menghapuskan harta curi iaitu motosikal Yamaha 135LC dan menerima atau menyimpan motosikal Sym Jet Power 125 milik orang lain.
Kesalahan itu dilakukan di Pangsapuri Rakyat Sungai Putat; Paya Dalam dan Pangsapuri Taman Tasik Utama pada 15, 16 dan 18 Disember lalu antara jam 1.20 pagi hingga 2.50 petang.
Bagi kesalahan mencuri motosikal dia didakwa mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan (KK), manakala bagi kesalahan menyimpan dan melupuskan motosikal curi pula dituduh mengikut Seksyen 411 dan 414 Kanun Keseksaan.
Bagi kesalahan pecah rumah dah curi pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tertuduh merayu hukuman ringan kerana sudah insaf selain perlu menanggung empat adik-beradik serta ibunya seorang warga Indonesia, namun Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal dikenakan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 bulan dan denda RM1,500 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama dan penjara 36 bulan dan tiga sebatan bagi pertuduhan kedua, berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 14 Disember 2023.
Pertuduhan ketiga, penjara 40 bulan selepas tamat hukuman kes kedua dan empat sebatan, manakala bagi tiga lagi pertuduhan dia dihukum penjara 12 bulan, enam bulan dan 18 bulan yang berjalan serentak selepas tamat hukuman kes ketiga.
Tertuduh juga dikenakan denda RM1,500 dan RM2,000 bagi pertuduhan keempat dan keenam, gagal bayar penjara tiga bulan.
Ini bermakna keseluruhannya tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 102 bulan berserta denda RM5,000 dan tujuh sebatan rotan.