comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Padah bakar suar, tiga penyokong JDT didenda RM100

Tiga penyokong JDT mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Alor Setar atas pertuduhan membakar suar ketika perlawanan antara KDA FC menentang JDT di perkarangan Stadium Darulaman, Jumaat lalu.-Foto: NSTP

ALOR SETAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini mendenda tiga penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) RM100 seorang selepas mengaku bersalah membakar suar di perkarangan Stadium Darulaman, Jumaat lalu.

Jalali Hamid, 47, dan Mohd Faizol Mohd Sapian, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zul Hilmi Latif.

Seorang lagi Mohamad An’naffi Sahid, 34, turut membuat pengakuan sama dalam pertuduhan berasingan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa membakar suar di perkarangan Stadium Darul Aman, kira-kira jam 10.45 malam, selepas perlawanan pusingan pertama Piala FA antara JDT dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC), pada 19 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan pegawai dan anggota polis melihat tertuduh menyalakan suar di tempat letak bas penyokong JDT, berhampiran pekarangan stadium berkenaan.

Tertuduh kemudian diarahkan untuk memadamkan suar itu, sebelum diperiksa dan ditahan untuk tindakan lanjut.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3(5) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM100 atau dipenjarakan sebulan atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan terhadap mereka dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farhanah Fuad Mohamad Faiz dan J Banusha, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tasha Farha Mohamad Nizam dan H A Chuah.

Ketiga-tiga mereka didenda RM100 setiap seorang atau penjara 15 hari jika gagal membayar denda berkenaan.

Mereka membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini