Tumpuan :
Mahkamah

Operator mesin didakwa bunuh rakan

Lai Pui Hung (tengah) dibawa keluar dari Mahkamah Majistret, Kuantan selepas dituduh atas kesalahan melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap mangsa, Yee Yong Hock. FOTO: NSTP

KUANTAN: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan membunuh rakannya, 13 Januari lalu.

Lai Pui Hung, 30, dari daerah ini faham pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Ellyna Othman.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki yang bekerja sebagai operator mesin didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Yee Yong Hock, 38, di kedai di Bukit Sekilau di sini, antara 3 hingga 4 petang, 13 Januari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Luqman Hakim Mohamad Usari, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Bob S Arumugam.

Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 24 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan ibu Yong Hock menemui mayat anaknya di dalam kedai pada 4 Februari sebelum memaklumkan polis.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini