JOHOR BAHRU: Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Majistret, di sini hari ini, atas pertuduhan memandu dengan kandungan alkohol berlebihan dalam badan sehingga menyebabkan kematian seorang remaja berusia 17 tahun, Ahad lalu.
L Satish Kumar, 25, didakwa di hadapan Majistret A Shaarmini, mengikut Seksyen 44(1)(b) Αkta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 44(1)(6) akta sama (Pindaan 2020).
Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda sehingga RM100,000. Lesen memandu juga digantung dan pesalah hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga tempoh 10 tahun.
Lelaki itu didakwa memandu sebuah Mitsubishi Xpander dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 173 miligram (mg) dalam 100 mililiter (ml) darah dan menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal berusia 17 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 41 Jalan Johor Bahru-Gelang Patah-Pendas, di sini, kira-kira jam 12.15 tengah malam, 16 Jun lalu.
Satish Kumar yang diwakili peguam, R Sangaran mengaku tidak bersalah sebelum Pegawai Pendakwa, Inspektor S Vikineswary menawarkan jaminan RM10,000 dengan beberapa syarat jaminan.
Peguam bagaimanapun memohon jumlah jaminan lebih rendah memandangkan bapa kepada anak guamnya yang bekerja di Singapura dengan gaji RM2,500 sebulan, perlu menjalani pembedahan mata dalam masa terdekat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 serta perlu melapor diri di Balai Polis Kangkar Pulai sebulan sekali serta lesen memandunya digantung sehingga kes selesai, sebelum menetapkan sebutan semula kes pada 23 Julai depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.