Tumpuan :
Mahkamah

OKU tetak bapa, diperintahkan jalani penilaian psikiatri

Anggota polis membawa seorang Penganggur OKU mental, Anuar Halim, 45, selepas mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani penilaian psikiatri selama sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar kesalahan mencederakan bapanya hingga parah dengan sebilah parang di Kuala Perlis pada 24 Februari lalu.- Foto NSTP

KANGAR: Lelaki kurang upaya (OKU) ketidakupayaan mental diarahkan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan bapanya hingga parah dengan parang di Kuala Perlis, 24 Februari lalu.

Anuar Halim, 45, yang juga seorang penganggur mengangguk faham dan mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Anuar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan parang terhadap ayahnya, Halim Lebai Othman, 74, yang boleh menyebabkan kematian.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di rumah di Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis jam 5 petang pada 24 Februari lalu.

Oleh itu dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebat.

Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Nabilah Ahmad Poad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Hapiz Rajali dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Nabilah dalam hujahanya menyatakan ketika ditahan polis, tertuduh didapati mempunyai kad OKU ketidakupayaan mental dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Oleh itu, dia memohon mahkamah supaya tertuduh diperintahkan untuk menjalani penilaian psikiatri atau mental selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh menjalani penilaian mental selama sebulan.

Difahamkan, tertuduh akan dibawa ke Hospital Bahagia Tanjung Rambutan di Perak.

Mahkamah turut menetapkan 28 Mac hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes serta serahan dokumen.

Dalam kejadian itu, mangsa yang cedera di kepala dan telinga kiri dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar untuk menerima rawatan lanjut sebelum keluarga mangsa membuat laporan polis sekitar jam 8 malam di Balai Polis Kuala Perlis.

Suspek yang melarikan diri selepas kejadian itu akhirnya berjaya ditahan polis pada Rabu lalu sekitar jam 10 pagi di sekitar kawasan kampung itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini