Tumpuan :
Mahkamah

OKU simpan video lucah OKU perempuan rayu tak nak dipenjara

Dua lelaki OKU, Sayyid Muhammad Nazrul (baju T kelabu) dan Abdul Warith didenda RM8,000 dan RM3,000 kerana amang seksual bukan fizikal. – FOTO: NSTP

MUAR: “Saya tak nak dipenjara, saya nak denda,”

Demikian rayuan lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menunjukkan kemaluan dan menyimpan video lucah remaja perempuan yang juga OKU, minggu lalu.

Sayyid Muhammad Nazrul Mohd Najib, 21, didakwa bersama rakannya yang juga OKU fizikal dan pembelajaran, Abdul Warith Tuhanizam, 22, masing-masing bekerja katering, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan, Sayyid Muhammad Nazrul berhadapan dua pertuduhan iaitu melakukan aktiviti bersifat seksual dan menunjukkan video lucah mangsa yang juga OKU intelektual berusia 16 tahun di Pagoh, antara 10.03 malam dan 12.35 tengah hari, 6 dan 8 Disember lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15 (e) dan 15 (a) (ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15 akta sama, penjara sehingga 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya.

Abdul Warith pula didakwa memiliki video pornografi kanak-kanak iaitu mangsa di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, 9.30 malam, 11 Disember lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 10 AKKSTKK yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada jam 9.02 malam, laporan polis dibuat oleh penjaga mangsa memandangkan ibunya sudah meninggal dunia selepas dimaklumkan guru sekolah mengenai perkara itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir dan Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM8,000 terhadap semua pertuduhan dihadapi Sayyid Muhammad Nazrul manakala Abdul Warith, RM3,000.

Pada masa sama, mahkamah memerintahkan Sayyid Muhammad Nazrul dipenjara lapan bulan dan tiga bulan untuk Abdul Warith jika mereka gagal membayar denda.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini