MUAR: Seorang penganggur yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan mencabul seorang kanak-kanak lelaki dalam tandas sebuah masjid di Simpang Renggam, ketika solat Jumaat, minggu lalu.
Tertuduh, Muhamad Aidil Mohamad Zailani, 24, yang didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.
Mengikut pertuduhan itu, dia didakwa melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun di sebuah masjid di Simpang Renggam, Kluang pada jam 1 petang, 26 Januari lalu.
Hukuman bagi kesalahan ini adalah tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku ketika mangsa ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat sebelum tertuduh didakwa memeluk dari belakang serta menyentuh alat sulit kanak-kanak itu.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa memberitahu ibu saudaranya kenapa dia enggan ke masjid kerana ada ‘seorang lelaki gemuk, berkulit gelap’ melakukan perbuatan itu terhadapnya.
Ibu saudara mangsa kemudian menceritakan perkara itu kepada ibu kandung kanak-kanak terbabit sebelum mereka membuat laporan dibuat di Balai Polis Simpang Renggam.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir sementara tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 20 bulan serta satu sebatan terhadap tertuduh.
Selain itu, tertuduh juga diarah menjalani sesi kaunseling sepanjang menjalani hukuman penjara dan perlu diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun sebaik dibebaskan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.