JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan bersubahat melakukan penculikan bagi tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta, bulan lalu.
Wanita berkenaan, Chan Wan Kooi, 57, yang didakwa di hadapan Hakim Hazeelia Muhammad, faham pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada ibu tiga anak dan nenek kepada empat cucu itu memandangkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Wanita itu didakwa melakukan subahat jenayah dengan Chong Shih Ming, Luong Van Tung dan Tran Van Chung, menculik seorang lelaki berusia 59 tahun dengan tujuan menuntut wang tebusan RM20 juta.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Straits View, di sini, kira-kira jam 5 pagi, 13 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Umar Faiz Abdul Kohar membantah sebarang jaminan memandangkan kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi, termasuk isu jaminan.
Bagaimanapun, peguam Datuk Jagjit Singh Bant Singh yang mewakili tertuduh, memohon jaminan dibenarkan atas faktor tertuduh sudah berada dalam reman yang lama, selain ada masalah sakit jantung dan perlu menjalani pemeriksaan kesihatan berkala.
Katanya, tertuduh mempunyai tiga anak berusia antara 28 hingga 36 tahun dan mempunyai empat cucu berusia empat hingga sembilan tahun yang semua dijaganya.
“Difahamkan, tertuduh juga adalah pengarah bagi dua syarikat dan beralamat tetap di Johor Bahru, jadi tiada risiko untuk dia melarikan diri,” katanya.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya Nor Maisarah Hassan, manakala peguam, Fairoz Elyas Majeed serta Ng Kian Pin bertindak sebagai peguam pemerhati.
Mahkamah menolak permohonan ikat jamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 17 November.
Terdahulu pada 4 November lalu, Shih Ming, 46, mengaku tidak bersalah menculik ahli perniagaan itu dengan tujuan menuntut wang tebusan jumlah sama.
Van Tung, 39, dan Van Chung, 29, yang didakwa bersama Shih Ming bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Malaysia.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1960 (Akta 365) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun dan dengan sebatan, jika sabit kesalahan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.