![](https://media.buletintv3.my/2024/12/aHlTI8yL-BULETIN-TV3-A-4.jpg)
MUAR: Nelayan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methampethamine seberat lebih sekilogram, empat tahun lalu.
Hakim, Suria Kumar DJ Paul menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Iskandar Muhamad, 41, selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes dihadapi tertuduh.
Dalam penghakiman itu, Suria Kumar berkata, keputusan ini dibuat sekali gus membuktikan mahkamah memandang serius terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah.
“Ini adalah keputusan mahkamah di sini (Mahkamah Tinggi Muar), kamu berhak membuat rayuan di Mahkamah Rayuan,” hujahnya sebelum menjatuhkan hukuman.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga duda seorang anak didakwa mengedar methampethamin seberat 1,471 gram (g) di Jalan Abd Rahman menghala ke Parit Jawa, di sini, 5 pagi, 6 Jun 2020.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sulehan Abd Rahman manakala tertuduh diwakili RK Bala.
Mahkamah memutuskan hukuman seumur hidup bersama 30 tahun itu berkuat kuasa pada tarikh tertuduh ditahan, 6 Jun 2020.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.