comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Nelayan didenda RM20,000 langgar syarat lesen, ubah suai enjin tanpa kebenaran

Oleh Baharuddin Mohamed

MELAKA: Seorang nelayan didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua tuduhan menyalahguna bot dan mengubah suai enjin bot tanpa kebenaran, tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Yap Hock Joo, 56, yang mengaku bersalah sejurus dua kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dalam penghakimannya, Hakim Darmafikri memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda selain wang RM150 hasil lelongan ikan yang disita, dilucuthak kepada Kerajaan Malaysia.

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan lesen bot dan peralatan menangkap ikan tertuduh dibatalkan di bawah peruntukan subseksyen 33(1) Akta Perikanan 1985 [Akta 317].

Tertuduh turut mempunyai tiga rekod kesalahan lampau iaitu tidak mengusahakan sendiri bot dan menukar enjin vesel miliknya tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

Hock Joo didakwa tidak mengusahakan sendiri bot penangkapan ikan tempatan bernombor NSS 1026 miliknya ketika ditahan pada kedudukan 1.3 batu nautika dari Tanjung Beruas pada jam 1 petang, 24 Januari tahun lalu.

Dia didakwa melanggar syarat dalam lesen bot iaitu ‘vesel hendaklah diusahakan sendiri oleh tuan punya vesel yang merupakan kesalahan di bawah perenggan 8(b) Akta 317.

Dalam pertuduhan kedua, Hock Joo didakwa mengikut perenggan 14(2)(a) Akta sama kerana menukar kuasa kuda bot terbabit tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan pada tarikh, masa dan tempat sama.

Hukuman dikenakan mengikut subseksyen 25(b) Akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, bot berkenaan ditahan sepasukan lima pegawai dan anggota dari Markas Taktikal Polis Marin Melaka menerusi Op Gelora dan terdapat seorang tekong serta dua awak-awak berusia 35 hingga 42 tahun di atasnya.

Pemeriksaan lanjut, polis marin menahan ketiga-tiga mereka kerana disyaki melakukan kesalahan Akta 317 dan menyita bot, dua unit enjin, dua tong ikan, 30 kilogram ikan, segulung tali, dua sauh dan seunit ‘net hauler’.

Satu laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Kling dan laporan pengesahan status lesen vesel daripada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan mengesahkan ia dilesenkan kepada tertuduh.

Pegawai Pendakwa Jabatan Perikanan, Abdul Halim Jaffar memohon supaya denda maksimum dikenakan terhadap tertuduh kerana kesalahan berulang dilakukan dan sebagai pengajaran kepada orang awam.

Peguam Iwana Sakinah Mohd Lajis dan Philip Yeow bagaimanapun merayu denda ringan diberikan selepas mengambil kira pengakuan salah tertuduh menjimatkan kos mahkamah selain pendapatannya tidak menentu dan perlu menanggung isteri tidak bekerja dan tiga anak.

Loading...
Terkini