BATU PAHAT: Seorang nelayan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap anak perempuannya menggunakan kayu kerana mandi sungai, bulan lalu.
Suraiman Ardan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja mencederakan anaknya berusia 12 tahun dengan menggunakan sebatang kayu di Taman Desa Sri Banang, di sini, 7.30 malam, 8 Disember lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Berdasarkan laporan dibuat mangsa, kejadian berlaku ketika mangsa mandi di sungai sehingga menimbulkan kemarahan tertuduh.
Tertuduh kemudian mengambil sebatang kayu lalu memukul mangsa hingga cedera sebelum anaknya itu membuat laporan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, pada 10 Disember.
Bertindak atas laporan polis menahan tertuduh pada hari sama di sebuah rumah di Taman Desa Sri Banang.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Susulan pengakuan tidak bersalah tertuduh, pihak pendakwaan memohon satu tarikh bagi penyerahan dokumen dan juga pelantikan peguam serta syarat tambahan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Februari ini untuk sebutan semula kes serta menetapkan syarat agar tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran setiap 1 hari bulan, tidak boleh mengganggu mangsa serta perlu tinggal berasingan dengan mangsa sehingga kes selesai.
Selain itu, mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun gagal membayarnya.