Tumpuan :
Mahkamah

Nazrin didakwa berhasrat menceraikan Samirah – Pihak pendakwaan

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan memaklumkan kepada Mahkamah Rayuan di sini hari ini bahawa Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund yang ditemui maut di rumahnya lima tahun lalu, didakwa berhasrat menceraikan Samirah Muzaffar sebelum kejadian berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Yusaini Amer Abdul Karim, berkata demikian bagi merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Samirah serta dua remaja daripada pertuduhan membunuh CEO syarikat terbabit Nazrin Hassan.

Yusaini berkata rakan baik Nazrin, Eliza Elias, diberitahu mengenai masalah perkahwinan pasangan itu dan hasrat CEO syarikat terbabit.

Beliau berkata, Nazrin menyatakan kepada Eliza yang juga saksi pendakwaan ke-29 (SP29), mengenai isu perceraian yang dibincangkan dengan Samirah.

“Selain itu, SP29 dan SP47 (pembantu peribadi Nazrin, Nurul Anisah Abdullah) ada memberitahu mahkamah bahawa prestasi kerja Nazrin mula merosot selepas mendirikan rumah tangga bersama responden pertama (Samirah).

“CEO terbabit ada masalah kewangan serta berlaku pergaduhan antara pasangan berkenaan.

“Meskipun semua responden (Samirah dan dua remaja) cuba menunjukkan kepada mahkamah bahawa perkahwinan pasangan itu adalah perkahwinan bahagia, namun hakikat sebenar adalah Nazrin ingin bercerai dengan responden pertama,” katanya.

Beliau berhujah di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azhahari Kamal Ramli.

Samirah, dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari didakwa membunuh Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 hingga 4 pagi 14 Jun 2018.

Pada 21 Jun 2022, Hakim, Datuk Ab Karim Ab Rahman, melepas dan membebaskan ketiga-tiga individu itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Samirah, 48, dan remaja berusia 17 serta 20 tahun berkenaan.

Ab Karim dilaporkan berkata, pasukan pendakwaan hanya membuat andaian semata-mata apabila mendakwa ketiga-tiga mereka membunuh CEO Cradle Fund itu seperti dinyatakan dalam kertas pertuduhan.

Pada 14 Februari tahun sama, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 57 saksi termasuk Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Edwin Galan Anak Teruki; Pegawai Forensik Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Siew Sheue Feng serta pengawal keselamatan kediaman Nazrin, Raju Kumar Pandit.

Yusaini Amer berkata, keputusan Mahkamah Tinggi itu tidak selari dengan dapatan yang secara tepatnya dibuat berdasarkan fakta dan keterangan dikemukakan pendakwaan.

“Berdasarkan keterangan dikemukakan, perayu dengan rendah diri menghujahkan bahawasecara kumulatifnya keterangan menjurus ke arah satu konklusi saja iaitu semua responden adalah orang bertanggungjawab terhadap kematian Nazrin, tiada orang lain.

“Berdasarkan kepada fakta bahawa responden terbabit adalah orang terakhir dengan Nazrin, adalah munasabah untuk dibuat inferens (kesimpulan) bahawa responden ada peluang untuk membunuh Nazrin,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Samirah dan dua remaja berkenaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, menyifatkan isu penceraian dibangkitkan pendakwaan tidak jelas.

“Malah, ada keterangan kakak arwah, Che Elainee Che Hassan (SP21); pemandu arwah, Ahmad Edree Abdul Rashid (SP25); Nurul Anisah (SP47) dan rakan sekerja arwah, Eliza (SP29) mengenai hubungan baik arwah dan Samirah.

“Kesimpulannya tiada bukti menunjukkan bahawa kecederaan mengakibatkan kematian Nazrin adalah disebabkan oleh mereka yang dituduh,” katanya.

Prosiding rayuan bersambung esok.

Loading...
Terkini