![](https://media.buletintv3.my/2025/02/PEGUAM.jpg)
Oleh: Syafiqah Damanhuri
PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempertimbangkan untuk mengemukakan permohonan pengampunan kali kedua kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang permohonan baharu tidak seharusnya menjejaskan hak yang telah diperoleh menerusi Titah Adendum pertama.
“Berkenaan dengan soalan sama ada pengampunan Diraja telah pun dikemukakan, saya jawab dengan tegas setakat ini belum.
“Namun, saya sedang berfikir kalau buat satu pengampunan baharu, ia tidak harus menjejaskan hak di bawah Adendum kita demi memberi keuntungan kepada Najib,” katanya dalam sidang media di sini, pada Rabu.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Shafee memaklumkan bahawa Najib akan memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.
Menurutnya, Najib telah mengarahkan tindakan itu diambil dan permohonan berkenaan dijangka difailkan selewat-lewatnya pada Jumaat.
Permohonan itu dibuat susulan dakwaan bahawa Ahmad Terrirudin gagal melaksanakan Titah Adendum sebaik menerimanya daripada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.