Tumpuan :
Mahkamah

Najib fail pembelaan 525 halaman jawab tuduhan seleweng RM2.3b dana 1MDB

Datuk Seri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak telah memfailkan pernyataan saksi setebal 525 muka surat untuk menjawab empat tuduhan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.

Bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu dijangka menjawab semua tuduhan berkenaan daripada kandang saksi apabila prosiding bela diri kes skandal kewangan 1MDB bermula hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib ketika dihubungi BH hari ini mengesahkan, pasukan peguam bela Najib diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah telah mengemukakan salinan dokumen itu melalui e-mel kepada pihak pendakwaan kelmarin.

Pada 30 Oktober lalu, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memerintahkan Najib membela diri terhadap semua 25 tuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.

Ketika kesalahan itu dilakukan, Najib adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Katanya, selepas membuat penilaian maksimum, mahkamah mendapati pihak pendakwaan membuktikan inti pati bagi semua empat pertuduhan menyalahgunakan kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Berdasarkan Seksyen 180 Kanun Prosedur Jenayah, kes prima facie dibuktikan apabila pihak pendakwaan mengemukakan ‘bukti yang boleh dipercayai’ di mahkamah untuk membuktikan setiap elemen kesalahan.

Seksyen 180(4) memperuntukkan bahawa ‘kes prima facie dibuktikan terhadap tertuduh di mana pihak pendakwaan mengemukakan bukti yang boleh dipercayai yang membuktikan setiap intipati kesalahan yang jika tidak disangkal atau tidak dijelaskan akan memerlukan sabitan.”

Najib memilih untuk membela diri melalui keterangan bersumpah daripada kandang saksi dan boleh disoal pendakwaan.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi pertuduhan pengubahan haram pula antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013 di lokasi sama.

Pertuduhan itu adalah mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Bagi 21 pertuduhan lagi, Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima, memindahkan dan membayar jumlah sama hasil daripada aktiviti haram.

Najib didakwa atas 16 pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram daripada akaun Tanore Finance Corporation di Falcon Private Bank, Singapura ke akaun AmIslamic Bank Berhad miliknya sebelum memindahkannya semula ke akaun milik Tanore semula berjumlah RM2,196,786,711.87.

Bagi lima pertuduhan lagi, Najib didakwa menggunakan hasil daripada aktiviti haram sebanyak RM20,000,000 untuk dibayar kepada Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), RM100,000 dibayar kepada UMNO Bahagian Batu Kawan, RM246,000 kepada Lim Soon Peng, RM2,000,000 kepada ORB Solutions Sdn Bhd dan RM303,000 kepada Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd.

Bagi semua perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini