comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Najib akan bela diri kes berprofil tinggi 1MDB pada 2 Disember depan

Datuk Seri Najib Razak. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 2 Disember depan bagi bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membela diri atas semua 25 pertuduhan dalam kes berprofil tinggi membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah (yang kini merupakan hakim Mahkamah Rayuan) menetapkan 97 hari untuk mendengar kes pembelaan bermula dari 2 Dis hingga 7 Nov tahun depan.

Terdahulu dalam keputusannya, Hakim Sequerah mengarahkan Najib, 71, untuk membela diri atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu bagi kesemua 25 pertuduhan di akhir kes pendakwaan.

“Mahkamah memerintahkan tertuduh untuk membela diri terhadap semua pertuduhan,” katanya.

Hakim Sequerah kemudian meminta jurubahasa mahkamah untuk menerangkan kepada Najib bahawa beliau mempunyai tiga pilihan – memberi keterangan bersumpah dari kandang saksi, memberikan keterangan tanpa sumpah dari kandang tertuduh, atau berdiam diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini