comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Nahas bas Genting Highlands: Pemandu bas persiaran mengaku tidak bersalah


Oleh: Fahmi Tajuddin

RAUB: Pemandu bas persiaran yang terbalik dalam kemalangan maut di Kilometer 16.5 Jalan Genting Highlands pada Sabtu lalu, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di Mahkamah Majistret Raub, hari ini.

Tertuduh, Anand Kumar Senderan, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan majistret, Siti Aisyah Ahmad.

Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 26 (1) kerana tiada lesen memandu.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada 29 Jun lalu sekitar jam 10.20 pagi telah memandu sebuah bas persiaran dengan cara yang bahaya kepada nyawa orang awam sehingga menyebabkan dua kematian penumpang warga asing.

Pertuduhan pertama memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada 10 dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memandu sebuah kenderaan bermotor di atas jalan raya tanpa mempunyai lesen memandu yang membenarkan memandu kenderaan berkenaan.

Sabit kesalahan bagi pertuduhan kedua termasuk denda tidak kurang RM300 dan maksimum RM3,000 atau penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali.

Sebelum itu, pihak pendakwaan memohon jaminan sebanyak RM12,000 ke atas tertuduh, selain segala permohonan lesen kenderaan tertuduh digantung sehingga kes selesai.

Tertuduh kemudian merayu jumlah jaminan dikurangkan kerana gajinya sebagai pemandu bas hanya sekitar RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, selain mempunyai tanggungan seorang ibu golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

Majistret kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin, dan sebarang permohonan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Majistret turut menetapkan sebutan semula pada 7 Ogos depan bagi penyerahan dokumen dan lantikan peguam tertuduh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini