Tumpuan :
Kes

Nafi pecah amanah lebih RM40,000

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Seorang bekas pengurus sebuah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, hari ini, atas pertuduhan pecah amanah wang syarikat itu berjumlah lebih RM40,000 dari Jun hingga Julai tahun lalu.

Tertuduh, Siti Khadyja Razali, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd Firdaus Saleh selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pengurus sebuah syarikat yang telah diamanahkan suatu harta iaitu wang hasil jualan syarikat berjumlah RM41,143.50 telah melakukan pecah amanah jenayah.

Kesalahan dilakukan di pejabat syarikat berkenaan di Aeon Nilai, dari 17 Jun hingga 27 Julai tahun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Pegawai Pendakwa Polis, Asisten Suprintendan L Rathna mencadangkan mahkamah supaya menetapkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Asiah Abd Jalil yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menetapkan wang jaminan paling minimum memandangkan tertuduh sudah tidak bekerja sejak kejadian itu, malah memaklumkan tertuduh memberi kerjasama kepada polis sepanjang ditahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin, manakala sebutan semula kes pada 24 Mac depan. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini