Kuala Lumpur: Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali melantik semula peguam yang sebelum ini menarik diri daripada kes perbicaraan bela diri beliau.
Pelantikan Mohammad Farhan Maaruf diberitahu Siti Bainun dalam prosiding di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Siti Bainun berkata, meskipun dia sudah memohon bantuan Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk mendapatkan peguam baru, tetapi pada masa sama tetap meminta bekas peguam bela untuk kembali mewakilinya.
“Apabila dapat keputusan YBGK mengenai kelulusan permohonan dapatkan peguam mereka, saya masih lagi tunggu maklum balas peguam lama.
“Saya mengesahkan melantik Mohammad Farhan sebagai peguam manakala baki empat lagi peguam tidak dilantik,” katanya.
Sementara itu, Mohammad Farhan turut mengesahkan beliau dilantik semula oleh Siti Bainun untuk mengendalikan kes bicaranya.
Mohammad Farhan antara lima peguam yang menarik diri daripada mewakili Siti Bainun selain Nur Ellena Mohamed Razif, Nur’Aminahtul Mardiah Md Nor, Asiah Abd Jalil dan Nurul Hafidzah Hassan.
Media sebelum ini melaporkan, Siti Bainun sebak apabila kesemua peguam daripada lima firma yang mewakilinya dalam kes itu menarik diri, menjadikannya keseorangan tanpa peguam bela dalam kes berkenaan.
Izralizam memerintahkan Siti Bainun untuk melantik peguam baru dan kemudian tertuduh memberitahu memohon peguam melalui YBGK tetapi memerlukan masa sebulan bagi meneliti kes.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan supaya prosiding bela diri Siti Bainun diteruskan dengan tertuduh membacakan penyataan saksi tanpa peguam bela.
Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, memerintahkan Siti Bainun membela diri berhubung dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella, 13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.
Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.-HARIAN METRO