KUALA LUMPUR: “Minta ampun, saya janji tak buat lagi, mohon hukuman dikurangkan,” demikian rayuan seorang pekerja logistik selepas mengaku bersalah atas tuduhan menghina Kerabat Diraja Pahang lebih tiga tahun lalu di Mahkamah Sesyen (Siber) di sini pagi ini.
Susulan pengakuan bersalah itu, Hakim Siti Aminah Ghazali memerintahkan tertuduh, Tan Yong Hua, 42, didenda RM10,000 dan penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Yong Hua didakwa melakukan kesalahan terbabit pada 6 dan 7 November 2021, melalui perkhidmatan aplikasi Instagram dengan menggunakan nama profil Instagram “ogbadboyterryt” di pautan https://instagram.com/ogbadboyterryt.
Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Perkongsian itu kemudian dibaca pengadu pada 7 November 2021 di sebuah premis di Taman U-Thant, di dalam Daerah Wangsa Maju, di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan sehingga satu tahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Susulan pengakuan bersalah tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Ahmad Hijrah Wan Abdullah, memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam supaya tidak menghina atau menyentuh sensitiviti isu berkaitan agama, bangsa dan raja (3R).
Dalam rayuannya, Yong Hua berkata, dia kini mengalami kecederaan pada tangan kiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.
Lelaki itu yang masih bujang mengakui kesilapannya dan memohon maaf serta berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.