comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Miliki petrol tanpa lesen, nelayan didenda RM20,000

Oleh Safwan Sawi

SEMPORNA: Seorang nelayan dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM20,000 di Mahkamah Sesyen Tawau, di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah atas kesalahan memiliki petrol yang diperoleh secara runcit tanpa sebarang lesen.

Tertuduh, Abdullah Asadan, 26, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Semporna Sabah, Jong Jee Leong berkata Abdullah didakwa di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122).

“Mana-mana individu yang disabit dengan kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya mahkamah memerintahkan tertuduh membayar denda tersebut dan jika gagal tertuduh dihukum penjara selama enam bulan.

Jee Leong berkata, tertuduh ditahan oleh sepasukan polis di perairan Singgah Mata, Pulau Bum Bum, Semporna.

“Hasil pemeriksaan, tertuduh didapati memiliki 70 jerikin yang mengandungi 2,080 liter petrol sebagai barang kawalan yang disimpan dalam bot kayu.

“Bahan api itu disyaki cuba dibawa ke negara jiran iaitu ke Sitangkai, Filipina dan hasil pemeriksaan lanjut juga tertuduh didapati tidak memiliki sebarang lesen atau kebenaran berhubung minyak petrol yang dimilikinya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini