Tumpuan :
Mahkamah

Menyamar pegawai imigresen untuk merompak, lelaki dipenjara 8 tahun

Foto: NSTP

TAWAU: Tindakan lelaki menyamar sebagai pegawai imigresen sebelum melakukan rompakan, membawa padah apabila dihukum penjara lapan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Azmin Salusin, 32, yang mengaku bersalah mengikut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Lelaki itu didakwa merompak menggunakan pisau terhadap dua wanita dan mengambil telefon bimbit mereka di bilik sewa bangunan bersebelahan restoran makanan segera di Semporna, pada 1.30 pagi, 22 Mei lalu.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian mangsa yang sedang tidur terbangun selepas pintu bilik diketuk bertalu dengan tertuduh memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen yang melakukan pemeriksaan.

Kerana curiga, dua wanita itu tidak menyerahkan dokumen mereka menyebabkan suspek beredar, namun kira-kira dua minit kemudian, dia kembali semula dengan menutup muka dengan kain dan mengacukan pisau serta meminta menyerahkan telefon bimbit.

Seorang daripada mangsa menjerit meminta tolong menyebabkan suspek melarikan diri, tetapi dia berjaya ditahan polis pada 24 Mei lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Syahnidzam Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Dalam rayuannya, tertuduh mendakwa terdesak hingga mencuri kerana mahu membeli tiket penerbangan ke Kuala Lumpur bagi mencari pekerjaan untuk menanggung anak perempuan berusia 13 tahun selepas kematian isteri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini