Tumpuan :
Mahkamah

Mengedar dadah untuk tampung keluarga, pengawal keselamatan dihukum penjara 10 tahun 

MUAR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan 10 sebatan terhadap seorang pengawal keselamatan yang mengaku salah mengedar heroin dan morfin, empat tahun lalu.

Hakim Suria Kumar Durairaj Johnson Paul membuat keputusan itu selepas berpuas hati serta menerima pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh, Sasitaran Tamil Harsan, 25, yang didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama.

Hakim sebelum menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh sempat menitipkan nasihat terhadapnya.

“Umur kamu (tertuduh) masih muda, jadi kamu perlu mulakan hidup baru selepas menjalani hukuman ini kelak.

“Kamu buatlah pilihan yang betul demi kelangsungan hidup dan juga keluarga,” ujar Hakim Suria Kumar.

Sasitaran didakwa mengedar heroin seberat 28.45 gram (g) dan morfin, 13.33g berhampiran rumah kedai di Jalan Bandar Baru 5, Pusat Bandar Ayer Hitam, Batu Pahat, pada jam 10.30 pagi, 8 September 2020.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan alasan untuk bagi menampung keluarga akibat pandemik Covid-19 selepas ibu bapanya bercerai.

Bekas pengawal keselamatan itu berdepan hukuman penjara seumur hidup atau suatu tempoh tidak kurang lima tahun dan juga hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada sepuluh kali.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat melakukan serbuan di lokasi kejadian selepas terserempak motosikal ditunggang tertuduh.

Pemeriksaan ke atas tertuduh menemui dua paket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 908.23g dalam beg sandang milik lelaki itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Putera Amirool Faez Suhasi manakala tertuduh diwakili Muhammad Hafizuddin Salehuddin.

Pihak pendakwaan sebelum itu, mencadangkan agar hukuman penjara dan juga sebatan dikenakan terhadap tertuduh sebanyak 13 tahun dan ke atas.

“Begitu juga hukuman sebatan, pihak pendakwaan berharap tertuduh dikenakan hukuman ini melebihi 10 tahun, jika berdasarkan trend hukuman yang dikenakan oleh mahkamah sebelum ini,” katanya.

Selepas mendengar rayuan dan hujah kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tertuduh dipenjara 10 tahun dan 10 sebatan dengan hukuman pemenjaraan bermula dari tarikh ditahan, 8 September 2020.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini