comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mengajar agama tanpa tauliah, timbalan mudir madrasah GISBH didakwa

Muhammad Ghazalyi didakwa di Mahkamah Rendah Syariah atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah, sejak dua tahun lalu. – FOTO: NSTP

REMBAU: Timbalan mudir madrasah yang terkait dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) didakwa di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, atas pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah, sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Muhammad Ghazalyi Othman, 54, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Bicara, Nurul Fadhlina Che Daud selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati mengajar agama berkenaan tauhid kepada pelajar madrasah di Kampung Senama Hilir, di sini, tanpa tauliah daripada Jawatankuasa Tauliah yang ditubuhkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003.

Kesalahan itu dilakukan antara penghujung 2022 hingga September 2024.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 53 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 pindaan 2009 iaitu mengajar agama tanpa tauliah.

Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi dua tahun atau denda tidak lebih RM3,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan RM2,500 dengan dua penjamin warga Malaysia yang menetap di Negeri Sembilan serta tarikh bicara pada 16 Januari depan.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie Kanan, Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Azrul Izham Jaapar.

Kelmarin, Muhammad Ghazalyi turut didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, atas pertuduhan mengamalkan zikir Aurad Muhammadiah yang bertentangan dengan hukum syarak.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Syarie, Zulfikri Yasoa selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan tertuduh didapati mengamalkan bacaan zikir Aurad Muhammadiah yang merupakan perbuatan berlawanan dengan hukum syarak di lokasi dan tarikh sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini