comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Melacur dalam kebun sawit, warga Indonesia didenda RM2,800

MUAR: Seorang wanita warga Indonesia didenda RM2,800 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan menjalankan aktiviti pelacuran dalam pondok di sebuah kebun sawit, bulan lalu.

Tertuduh, Ilah Jamilah, 40, yang juga ibu kepada seorang anak membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca jurubahasa di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan terbabit di sebuah pondok tidak bernombor dalam kebun sawit, Jalan Paya Panjang, Bukit Pasir, di sini, jam 7.30 petang, 23 Jun lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, polis menjalankan serbuan ke atas pondok terbabit dan mendapat tertuduh berada di dalamnya.

Turut berada bersama tertuduh dalam pondok itu ialah seorang lelaki warga Bangladesh disyaki pelanggan pada waktu itu.

Hasil pemeriksaan polis menemui beberapa barangan seperti tisu, kondom yang belum dan sudah digunakan, minyak pelincir serta wang lebih RM900.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM2,800 terhadap tertuduh dan memerintahkan hukuman tiga bulan penjara jika gagal membayarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini