Tumpuan :
Mahkamah

Mekanik rogol anak tiri diarah bela diri

Mekanik bersama peguamnya selepas diarah membela diri kerana merogol anak tiri, dua tahun lalu. – FOTO: NSTP

MUAR: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini memerintahkan seorang mekanik membela diri atas pertuduhan merogol anak tirinya di Kluang, dua tahun lalu.

Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie yang dikemukakan terhadap tertuduh.

Ketika membaca keputusan akhir pendakwaan, Sayani berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti keterangan saksi pendakwaan dan juga eksibit dikemukakan oleh pihak pendakwa dan juga pembelaan sepanjang perbicaraan ini.

“Maka pada tahap penilaian secara maksimum, mahkamah memutuskan bahawa pihak pendakwa raya berjaya membukti kes prima facie terhadap pertuduhan yang dikenakan ke atas tertuduh.

“Justeru, mahkamah memutuskan tertuduh diarah membela diri,” hujahnya.

Sepanjang perbicaaran berlangsung, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir telah mengemukakan lima saksi untuk memberi keterangan termasuk mangsa dan ibunya.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol anak tirinya berusia 12 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Simpang Renggam, Kluang, 7 pagi, 8 Ogos 2022.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan dengan penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Berdasarkan laporan dibuat, pada hari kejadian mangsa bersendirian di rumah manakala ibunya keluar menghantar adiknya ke sekolah.

Tertuduh memasuki bilik mangsa hanya dengan memakai seluar pendek sebelum keluar namun lelaki itu kembali dengan hanya memakai tuala.

Mangsa juga ditunjukkan video lucah sebelum tertuduh melakukan perbuatan itu terhadapnya.

Perbuatan itu terbongkar apabila mangsa menceritakan kepada ibunya sebelum mereka membuat laporan di Balai Polis Simpang Renggam seminggu selepas kejadian itu.

Dengan keputusan itu, peguam tertuduh, Datuk Mandave Singh Gill memberitahu mahkamah anak guamnya akan memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Jelasnya, pihak pembelaan juga akan mengemukakan dua saksi sepanjang prosiding pembelaan yang kemudiannya ditetapkan pada 4 Februari depan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini