BALIK PULAU: Mekanik didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun, pada 22 November lalu.
Bagaimanapun Muhammad Nasrul Afiq Muhamad Ghani, 18, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merogol seorang remaja perempuan bawah umur berusia 14 tahun antara jam 1 hingga 1.30 pagi di alamat 284 sebuah kampung di Balik Pulau pada 22 November lalu.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ketika prosiding, Jin Hong tidak menawarkan jaminan atas faktor mangsa adalah remaja bawah umur.
Hakim kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 19 Disember bagi sebutan semula dan lantikan peguam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.