comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Mekanik dituduh cuba bunuh tunang bekas isteri


Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cubaan membunuh seorang lelaki dipercayai tunang bekas isterinya menggunakan pisau lipat, pada 10 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan itu dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Yean.

Tertuduh didakwa cuba membunuh Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan pisau lipat berwarna perak berukuran kira-kira lima sentimeter.

Kesalahan dilakukan di tingkat 9 Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir pada 5.50 pagi, 10 Jun lalu.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada dua anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh.

24 Julai ditetapkan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

Sementara itu, Muhammad Hafizi turut berdepan dengan dua lagi pertuduhan secara berasingan di Mahkamah Majistret Jenayah.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 3, dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama, kira-kira jam 7 pagi, pada 30 Mei.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 2, Majistret Mohamad Azlan Basir menjatuhkan hukuman penjara 15 bulan terhadap Muhammad Hafizi selepas dia mengaku bersalah melakukan khianat memecahkan cermin kereta bekas isterinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan Flat Taman Jade, Jalan Bukit Gambir, kira-kira jam 10.10 malam, 2 april lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini