Tumpuan :
Mahkamah

Mekanik dipenjara 7 tahun dan satu sebatan rogol kanak-kanak 12 tahun

Tertuduh seorang mekanik, Muhammad Amirul Abdullah, 27 (berbaju biru) dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada tahun lalu.

SHAH ALAM: Seorang mekanik dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan satu sebatan selepas mengaku salah atas pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun pada tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh, Muhammad Amirul Abdullah, 27 membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Tertuduh diarah menjalani hukuman penjara berkenaan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 14 Oktober lalu.

Tertuduh yang juga bapa kepada dua anak itu didakwa merogol kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun di sebuah flat di Puchong Permai pada jam 9.30 malam pada 29 Julai 2021.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Muhammad Amirul yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman minimum dikenakan terhadapnya dengan alasan dia sudah insaf dan tidak akan mengulangi perbuatan itu.

Katanya, dia adalah penanggung tunggal keluarga yang mana bapanya meninggal pada Ogos lalu dan kini dia menjaga ibu yang uzur, isteri dan dua anak yang masih kecil serta tiga adik yang masih bersekolah.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Zatil Hidayah Ali bagaimanapun memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal berikutan perbuatan rogol dipandang jijik dan hina oleh masyarakat.

“Lagi hina ia dilakukan terhadap mangsa iaitu kanak-kanak perempuan yang masih kecil, naif dan lemah.

“Mahkamah juga dipohon untuk mengambil kira hasrat kerajaan untuk melindungi kanak-kanak terutamanya dari jenayah seksual. Ini hanya dapat dizahirkan mahkamah menerusi hukuman berat dan pemenjaraan yang panjang supaya tertuduh insaf,” katanya.

Loading...
Terkini