JOHOR BAHRU: Seorang mekanik didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas dua tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol hingga menyebabkan kematian pasangan suami isteri, pada 16 November lalu.
Tertuduh, S.Nageshvaran, 34, mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nor Farhana Mohd Ishak.
Tertuduh didakwa memandu kereta Perodua Alza dengan kadar alkohol melebihi had ditetapkan iaitu 170 miligram per 100 mililiter menyebabkan kematian suami isteri, Mohamad Redzwan Mohd Rudi dan Linda Mohd A.Aziz.
Perbuatan itu dilakukan di persimpangan lampu isyarat, pusat bandar Pasir Gudang, kira-kira jam 4.15 pagi.
Pendakwaan dibuat mengikut seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa trafik, S.Vikineswary manakala tertuduh diwakili peguam, K.Sarawanakumar.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 bagi dua tuduhan dengan seorang penjamin, lesen memandu tertuduh digantung dan pasport ditahan sementara kes dibicarakan.
14 Januari 2025 ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.