Tumpuan :
Mahkamah

Mekanik didakwa hantuk kepalanya ke hidung isteri hingga parah hanya kerana enggan lakukan seks

MELAKA: Seorang mekanik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini atas tuduhan mengugut bunuh dan mencederakan isteri hingga parah dengan menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.

Tertuduh, Syed Fakrulrazi Syed Abdul Rahman, 41, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Adam.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap isterinya yang berusia 33 secara menghantukkan kepalanya ke hidung mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu  di sebuah rumah di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini,  12 Februari lalu, kira-kira jam 10 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama, jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menakutkan isterinya secara jenayah dengan kata-kata ugutan akan membunuhnya di tempat, tarikh dan masa sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika disabitkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Aliff Asraf Anuar Sharuddin membantah jaminan bagi tuduhan pertama, namun jika mahkamah ingin menggunakan budi bicara membenarkannya, beliau mencadangkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak mengganggu mangsa dan melaporkan diri balai polis berhampiran.

Peguam bela, Ishak Mohd Kari, memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya sebelum ini bekerja di kedai perabot dan mendapat pekerjaan baharu sebagai mekanik pada 1 Jun lalu dengan gaji RM2,000 sebulan.

Beliau berkata, tertuduh dan mangsa mempunyai empat anak berusia antara 10 tahun hingga dua tahun dan sejak siasatan kes, dia sudah berpindah ke Bentong, Pahang dan tidak tinggal bersama isteri.

Katanya, begitupun tertuduh perlu menjalankan tanggungjawab membayar nafkah isteri yang tidak berkerja dan anak selain mangsa turut memfailkan tuntutan perceraian secara fasakh di Mahkamah Syariah di sini.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 10 Julai depan.

Difahamkan, tertuduh sebelum ini ditahan polis untuk siasatan selepas dilapor mencederakan isterinya hanya kerana mangsa menolak ajakan melakukan hubungan seks.

Loading...
Terkini