MELAKA: Seorang wanita yang menyamar sebagai pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini, atas pertuduhan memperdaya seorang lelaki warga emas berkaitan pegawai tidak wujud hingga pengadu kerugian lebih RM400,000.
Norhana Adam, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus dibacakan pertuduhan itu dan minta dibicarakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Berdasarkan pertuduhan Norhana, seorang penganggur didakwa memperdaya Ab Karim Hasan, 64, mengenai seorang pegawai AADK Melaka tidak wujud yang ditahan serta akan ditukarkan ke AADK Sabah dan Sarawak hingga mendorong mangsa menyerahkan wang berjumlah RM416,000 sebagai dorongan untuk mengelakkan pegawai berkenaan ditukarkan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai makan berhampiran Stadium Hang Jebat, dalam daerah Melaka Tengah, antara September 2023 hingga Jun 2024.
Berdasarkan fakta kes, pengadu diperkenalkan oleh rakannya kepada dua wanita iaitu tertuduh yang menggunakan nama Manja Bunga Lestari dan Nur Amalina yang mengaku berkerja di AADK Melaka pada 5 September 2023.
Rakan pengadu memaklumkan Nur Amalina (pegawai AADK tidak wujud) ditahan oleh AADK Melaka kerana menolak pertukaran kerja dan untuk menebus penahanan itu, perlu membayar sejumlah wang.
Tertuduh mengaku sebagai ketua bahagian di AADK Melaka dan meminta pengadu sebanyak RM10,000 untuk melepaskan Nur Amalina dan berjanji membayarnya semula.
Pengadu cuba menuntut wang namun dimaklumkan Nur Amalina mempunyai beberapa saman lain yang harus dijelaskan dan mangsa akur menyerahkan wang secara berperingkat berjumlah keseluruhan RM416,000 sebelum menyedari ditipu.
Pendakwaan kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Syazwanie Marizan sementara tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nur Syazwanie mencadangkan jaminan berjumlah RM30,000 dengan seorang penjamin, namun tertuduh merayu jumlah itu dikurangkan kerana tidak berkerja dan menanggung ibu yang sakit selain kakaknya sedia untuk menjaminnya.
Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menunggu perbicaraan selesai dengan jaminan RM15,000 berserta seorang penjamin dan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 6 Ogos depan untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam bela dan serahan dokumen.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.