IPOH: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, diberitahu bahawa mangsa dalam kes rogol pembantu rumah membabitkan bekas Ahli Dewan Undangan (Adun) Tronoh Paul Yong Choo Kiong, berhasrat menarik kembali keterangan palsu yang diberikannya terhadap lelaki terbabit.
Perkara itu dikemukakan menerusi penyataan bertulis yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Indonesia oleh saksi pembelaaan tambahan dari Sumbawa, Indonesia, Pathurrahman, 58, yang juga advokat dan peguamcara yang dikemukakan kepada Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.
Menerusi pernyataan bertulis itu, ia adalah salinan asal yang disediakan oleh Pathurrahman pada 21 Mei 2024 yang mana ia dibuat atas arahan mangsa, 24, dalam kes rogol itu dengan ia kemudiannya dinotari di hadapan Hilman iaitu Sarjana Hukum Magistor Kenotarian, Notaris dan Kabupatan, Sumbawa.
Menurut Pathurrahman, mangsa memberikan kuasa kepadanya untuk mewakili pihak mangsa iaitu untuk membuat surat pernyataan keterangan dalam kes rogol membabitkan Paul Yong.
Katanya, mangsa datang ke pejabatnya pada 20 Mei 2024 untuk mendapatkan nasihat undang-undang, yang mana wanita itu membuat pengakuan kepadanya bahawa dia memberikan keterangan palsu terhadap Paul Yong dan berhasrat menarik kembali keterangan berkenaan.
Berdasarkan surat itu, alasan mangsa membuat keterangan palsu berkenaan adalah kerana dia hendak pulang ke Indonesia, dan ketika ini, mangsa menyesal dan memohon maaf atas keterangan yang pernah disampaikannya kepada pengadilan Mahkamah Sesyen.
“Saya memberikan keterangan terbabit sekadar untuk mencari alasan agar dapat pulang ke Indonesia sebelum kontrak kerja berakhir. Saya ingin memutuskan kontrak kerja sebelum waktunya tetapi dilarang oleh keluarga Yong Choo Kiong sehingga harus mencari alasan yang tepat.
“Dengan kesedaran penuh dan tanpa paksaan atau intimidasi dari pihak mana pun, dengan ini saya mencabut keterangan yang pernah saya sampaikan di pengadilan Mahkamah Sesyen Malaysia tentang pemerkosaan yang dilakukan Yong Choo Kiong, sekali gus menyatakan segala keterangan yang saya berikan tidak berlaku dan tidak dapat dipergunakan untuk menuntut atau melawan Yong Choo Kiong,” menurut surat pernyataan itu.
Prosiding hari ini dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Muhammad Zaki Abdul Kudos bersama Timbalan Pendakwa Raya Qurratu’aini Khalifah, Liyana Zawani Mohd Radzi dan Nasrul Hadi Abdul Ghani.
Muhammad Zaki bagaimanapun membantah keaslian surat pernyataan itu dengan alasan tandatangan mangsa yang tertera padanya adalah berlainan dengan tandatangan pada pengenalan diri (KTP- Kartu Tanda Penduduk) milik mangsa.
Selain berkisar keaslian tandatangan, Muhammad Zaki turut berhujah bahawa surat penyataan itu hanya boleh disahkan ia dikarang berdasarkan pengakuan mangsa tanpa pengaruh luar hanya sekiranya mangsa sendiri datang menghadiri perbicaraan di mahkamah.
Ketika soal jawab dilakukan kepada saksi, pihak pendakwaan menimbulkan adanya kemungkinan sekiranya surat pernyataan itu memang dibuat berdasarkan keterangan diberikan mangsa maka ia mungkin dibuat apabila mangsa diganggu selepas pulang dari Malaysia.
Muhammad Zaki: Tahukah kamu mangsa adalah saksi terlindung, jadi semasa mangsa pulang ke Indonesia, dia tidak lagi dilindungi?
Pathurrahman: Saya tidak tahu.
Muhammad Zaki: Jadi tertuduh yang mempunyai maklumat peribadi mangsa selaku bekas majikan. Jadi sekiranya mangsa diganggu selepas pulang ke Indonesia, adakah kamu tahu? Dan tak mustahil mangsa sudah diganggu selepas pulang ke Indonesia?
Pathurrahman: Saya tidak tahu.
Muhammad Zaki: Jadi sebelum mangsa buat pernyataan (bertulis) ini, kamu tak tahu situasi mangsa?
Pathurrahman: Saya tidak tahu, sebelum itu.
Pada 12 November lalu, media melaporkan, Mahkamah Persekutuan pada hari sama membenarkan permohonan Paul Yong yang disabitkan merogol pembantu rumahnya untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan terhadap sabitan itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.