KUALA LUMPUR: Majikan yang disyaki mendera dan merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia di Kepong akan dihadapkan ke Mahkamah Kuala Lumpur esok.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan dan mendapat arahan untuk menuduh suspek esok.
Harian Metro semalam melaporkan wajah sugul pembantu rumah warga Indonesia berdiri di pintu jeriji sebuah unit kondominium di Kepong, membongkar kesengsaraan dirinya apabila mendakwa menjadi mangsa pukul dan rogol oleh majikannya.
Dalam kejadian jam 3 petang Jumaat lalu, wanita berusia 29 tahun itu dilihat berada di pintu rumah selama 15 minit sambil memerhatikan pekerja sebuah syarikat logistik memindah masuk barang di rumah jirannya.
Wanita itu kemudian memberanikan diri meminta bantuan pekerja terbabit untuk membantu menyelamatkannya dengan menghubungi pihak berkuasa.