BALIK PULAU: Sebuah syarikat pembuatan dijatuhi hukuman denda sebanyak RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen,di sini, kerana gagal mengadakan latihan bagi pekerjanya.
Dalam kenyataan hari ini, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) memaklumkan bahawa syarikat berkenaan,Syarikat Watas Holdings Sdn Bhd yang diwakili peguam, mengaku bersalah atas dakwaan itu di hadapan Hakim Tuan Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin.
Mengikut JKKP, kesalahan itu dilakukan mengikut Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Syarikat berkenaan mengaku bersalah sebagai majikan yang gagal bagi memastikan kewajipannya, setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja pekerjanya.
Syarikat itu gagal mengadakan latihan bagi kerja membuka dan mengeluarkan acuan (mould) dari platen (permukaan atau plat rata) di ‘moulding vacuum press machine’ (mesin penekan vakum untuk pembentukan) sehingga menyebabkan kemalangan dan kecederaan serius kepada pekerjanya.
Kenyataan itu melaporkan kemalangan yang berlaku 18 Januari lalu menyebabkan tiga jari tangan kanan mangsa dihempap oleh platen dengan acuan,semasa menjalankan kerja membuka dan mengeluarkan acuan yang tersangkut dengan platen di moulding vacuum press machine di kilang berkenaan.
Sehubungan itu, JKKP berharap kes berkenaan dapat memberi pengajaran kepada semua majikan dan pekerja supaya pematuhan kepada undang-undang sentiasa diambil berat demi keselamatan pekerja dan kepentingan awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.