
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak saman difailkan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman terhadap Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abd Samad, The New Straits Time Press (M) Berhad (NSTP) dan KiniTV Sdn Bhd berhubung kenyataan fitnah pada sidang media di lobi Parlimen, enam tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar membuat keputusan itu setelah mendapati kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Khalid selaku defendan pertama tidak bersifat fitnah dan dibuat berdasarkan justifikasi, komen berpatutan dan perlindungan bersyarat.
“Defendan kedua (NSTP) dan ketiga (KiniTV) telah membuat terbitan dengan bona fide (niat yang baik) tentang perkara kepentingan awam dan terbitan yang dibuat adalah adil saksama dan tepat. Oleh itu, tuntutan plaintif terhadap kesemua defendan adalah ditolak dan mengambil kira kepentingan awam tiada kos diberikan,” katanya.
Latifah dalam penghakimannya berkata komen Khalid berlaku berikutan sikap keterlaluan plaintif (Tajuddin) semasa prosiding di Parlimen yang menggunakan kenyataan yang tidak mengikut peraturan parlimen terhadap Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim.
Beliau berkata ini disokong oleh keterangan keterangan saksi-saksi Ahli-Ahli Parlimen yang memberi keterangan di mahkamah semasa perbicaraan.
“Mahkamah juga berpuas hati bahawa komen yang dibuat oleh defendan pertama pada sidang media pertama adalah komen yang berpatutan, berdasarkan kepercayaan yang jujur dan tanpa niat jahat yang berdasarkan fakta-fakta yang berada dalam pengetahuan defendan pertama sendiri,” katanya.
Latifah berkata kes itu berlaku berpunca dari plaintif (Tajuddin) semasa di Parlimen pada 21 Nov 2016 yang telah mengeluarkan satu kenyataan yang seksis dan menggunakan bahasa ‘yang tidak mengikut peraturan parlimen’ di dalam ucapannya terhadap Ahli Parlimen Seputeh yang telah mencetuskan kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang terutamanya Khalid.
Beliau berkata mahkamah berpendapat tiada keperluan untuk plaintif mengungkapkan perkataan kesat tersebut kepada Ahli Parlimen Seputeh yang pada masa itu tidak timbul apa-apa provokasi dan tiada kena mengena dengan persoalan yang sedang diperbahaskan ketika itu.
“Semasa menjawab kepada wartawan, plaintif menyatakan bahawa dia menyebut nama keluarga Teresa Kok dan tidak ada motif lain,” katanya dan menambah bahawa alasan plaintif semasa prosiding Parlimen bahawa kenyataan itu hanya merujuk kepada nama Ahli Parlimen wanita itu adalah tidak berasas jika diambil kira konteks keseluruhan kenyataan tersebut dibuat.
Menurut Latifah, tindakan plaintif yang enggan menarik balik kenyataan seksis tersebut dan memperli serta mengejek Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah menimbulkan provokasi terhadap Khalid.–BERNAMA