Oleh: Selwam Arjunan
GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak saman fitnah yang difailkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng terhadap Naib Presiden MCA, Tan Teik Cheng dan akhbar bahasa Inggeris, The Star.
Penghakiman itu dibuat Hakim Quay Chew Soon selepas mengambil kira ulasan yang ditulis oleh Teik Cheng dalam akhbar The Star mengenai Guan Eng dan pembiayaan untuk sekolah Cina tahun lalu sebagai komen yang adil dan bukannya bersifat fitnah.
Sehubungan itu, mahkamah mengarahkan Guan Eng membayar kos RM20,000 dan RM30,000 terhadap Teik Cheng dan The Star masing-masing.
Melalui samannya, Pengerusi Kebangsaan DAP itu mendakwa Teik Cheng membuat tuduhan palsu yang disiarkan akhbar The Star, dengan mempersoal motif beliau menyalurkan dana kepada sekolah ketika menjadi Menteri Kewangan.
Teik Cheng memaklumkan dalam perbicaraan bahawa dia menulis ulasan itu selepas Guan Eng memperuntukkan RM4 juta kepada SJK(C) Kuek Ho Yao semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2021.
Naib Presiden MCA itu juga berkata, beliau telah dimaklumkan dengan pasti bahawa sekolah itu, sebagai balasan untuk peruntukan itu, bersetuju untuk memasukkan nama projek pembangunan perumahan ke dalam namanya.
Sekolah itu kini dikenali sebagai SJK(C) Kuek Ho Yao @ Eco Spring, tetapi mengekalkan nama sedia ada dalam bahasa Mandarin.
Guan Eng menafikannya, sebaliknya mendakwa ulasan dibuat Teik Cheng sebagai fitnah.
Susulan penolakan saman itu, peguam mewakili Guan Eng, K Simon Murali, berkata anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan.