comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak permohonan Muhyiddin dapatkan pasport secara kekal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal selepas permohonannya ditolak Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Azura Alwi  mendapati adalah pramatang pada peringkat ini untuk membenarkan permohonan Muhyiddin mengubah syarat jaminan bon dan melepaskan pasport tanpa syarat.

Azura berkata, ini kerana Muhyiddin masih berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram.

Katanya, Presiden BERSATU itu masih boleh memohon untuk mendapatkan pasportnya secara sementara dan ia tidak memprejudiskannya.

“Selepas mendengar hujahan lisan dan meneliti afidavit serta hujahan bertulis, mahkamah berpuas hati bahawa permohonan untuk mengubah syarat jaminan dan melepaskan pasport tanpa syarat adalah dengan ini ditolak.

“Jika pun mahkamah bersetuju keputusan mahkamah yang membatalkan empat tuduhan (menggunakan kedudukannya untuk rasuah) mewujudkan keadaan perubahan material, pemohon masih perlu memberi alasan kukuh dalam permohonannya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan Muhyiddin melalui peguamnya Datuk K Kumaraendran mendapatkan pasportnya untuk sementara bermula hari ini dan dikembalikan semula ke mahkamah pada 15 Januari tahun depan.

Permohonan itu tidak dibantah Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Pada 16 Oktober lalu, Muhyiddin memohon untuk mendapatkan kembali pasportnya dari Mahkamah Sesyen atas beberapa alasan termasuk sudah membuat perancangan untuk bercuti bersama keluarganya ke London, United Kingdom (UK), pada akhir tahun.

Selain itu, Muhyiddin menyatakan hasrat untuk ke Singapura bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Muhyiddin menegaskan dirinya tiada risiko untuk melarikan diri berdasarkan beberapa sebab termasuk memegang jawatan penting seperti Ahli Parlimen Pagoh, Presiden BERSATU dan Pengerusi PN.

Beliau berdepan tiga tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM200 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini