Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak permohonan isteri Daim tuntut semula pasport

Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid gagal dalam usahanya untuk mendapatkan semula pasportnya secara kekal selepas Mahkamah Tinggi hari ini, menolak permohonan beliau.-Foto: NSTP

Oleh: Hilmi Abdul Malik

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan isteri Tun Daim, Toh Puan Na’imah agar mahkamah memulangkan semula pasportnya secara kekal.

Hakim, Datuk Ahmad Bache berkata, mahkamah mengambil kira risiko yang bakal berlaku termasuk kemungkinan tertuduh melarikan diri.

Tegasnya lagi, beliau juga berpendapat tidak timbul sebarang isu tidak adil berikutan beberapa kes profil tinggi sebelum ini berdepan proses sama.

“Mahkamah ambil kira risiko dan bersetuju dengan pandangan pihak pendakwaan memandangkan suami tertuduh (Tun Daim) tidak menyerahkan pasport dan berkemungkinan perlu jalani rawatan di luar negara.

“Maka kemungkinan itu agak tinggi (tertuduh lari) dan akhirnya tidak pulang untuk berdepan tuduhan di mahkamah,” katanya hari ini.

Terdahulu, permohonan itu juga dibantah pihak Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Ujar Wan Shaharuddin, tertuduh boleh membuat permohonan sekiranya terdapat urusan di luar negara misalnya berkenaan perniagaan mahu pun rawatan kesihatan.

Dalam pada itu, Hakim turut menyentuh mengenai isu pelanggaran hak yang dibangkitkan tertuduh.

Menurutnya, apabila berlaku pertuduhan jenayah terhadap seseorang maka hak mutlak pemilikan pasport itu akan bertukar.

“Apabila tertuduh berdepan tuduhan jenayah hak pasport bukan lagi menjadi hak mutlak dan akan bertukar dan perkara ini juga telah diputuskan di mahkamah tertinggi.

“Tidak ada apa-apa ketidakadilan yang berlaku dalam kes ini dan mahkamah tolak permohonan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, permohonan itu berikutan Na’imah ditahan Mahkamah Sesyen selepas pertuduhan gagal mematuhi notis dengan tidak mengisytiharkan 12 harta termasuk Menara Ilham dan beberapa hartanah di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Pada 23 Januari ini, Na’imah, 67, tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan terhadap semua pertuduhan terhadapnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini