JOHOR BAHRU: Seorang pencari barangan lusuh mengaku bersalah atas tuduhan mengabaikan anak lelakinya yang berumur 14 tahun, di Pasir Gudang, minggu lalu.
Pengakuan itu dibuat tertuduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.
Bagaimananpun mahkamah menolak pengakuan berkenaan kerana ia dibuat secara bersyarat.
“Saya ada bekalkan kunci, tetapi dia tidak mahu masuk. Tak mengapalah, saya faham, saya mengaku salah sahajalah,” kata Roslan Abas, 56 yang didakwa mengabaikan anak lelakinya dengan membiarkan remaja itu tidur di kaki lima rumah selama dua hari.
Kesalahan dilakukan di tingkat dua sebuah rumah flat di Pasir Gudang antara jam 10 malam hingga 8 pagi pada 7 hingga 9 Julai lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 31 kurungan satu, kurungan A, Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 kurungan satu, akta sama.
Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.
29 Julai depan ditetapkan tarikh sebutan semula kes.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa