Tumpuan :
Mahkamah

Mahkamah tolak bantahan awal pertuduhan dihadapi ibu bapa Zayn Rayyan

Zaim Ikhwan Zahari (kiri) bersama isteri, Ismanira Abdul Manaf ketika di mahkamah bagi prosiding kes pengabaian anak mereka, Zayn Rayyan Abdul Matiin di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya. – FOTO: NSTP

Oleh: Aslina Abu Bakar

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, menolak bantahan awal yang dikemukakan oleh Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, yang mendakwa pertuduhan terhadap mereka sebagai pertuduhan cacat.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan perbicaraan akan diteruskan seperti yang dijadualkan pada jam 2 petang ini, selepas mendapati pertuduhan selaras dengan undang-undang.

“Selepas meneliti bantahan awal tertuduh, hujahan dan autoriti yang dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah mendapati pertuduhan di dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan dan tidak defektif.

“Tiada unsur di dalam pertuduhan yang menunjukkan bahawa tertuduh dinafikan untuk pembelaan yang sewajarnya. Oleh itu, bantahan awal pembelaan ditolak,” katanya.

Mahkamah turut menolak permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung notis usul pasangan itu bagi membatalkan pertuduhan.

Prosiding yang bermula jam 10:30 pagi tadi menyaksikan pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Perbicaraan akan melibatkan 32 saksi pendakwaan berkaitan dakwaan bahawa pasangan itu mengabaikan kanak-kanak autistik tersebut.

Sementara iti, peguam Haresh Mahadevan berhujah bahawa pertuduhan perlu digugurkan kerana butiran pengabaian yang didakwa tidak jelas, sekali gus menjejaskan hak tertuduh untuk diadili secara adil.

Terdahulu, media melaporkan bahawa pasukan pendakwaan akan mengemukakan 32 saksi dalam kes tersebut.

Tarikh perbicaraan yang ditetapkan ialah 3 hingga 7 Februari, 17 hingga 21 Februari, dan 10 hingga 14 Mac.

Pada 21 Januari lalu, pasangan itu memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap mereka dan dibebaskan daripada dakwaan tersebut. Mereka juga meminta perbicaraan hari ini ditangguhkan sehingga permohonan mereka didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam esok.

Bagaimanapun, pada prosiding 28 Januari lalu, Hakim Dr Syahliza menolak permohonan itu dan memerintahkan perbicaraan diteruskan mengikut jadual.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini